SEKITAR PERASMIAN SYARAHAN PERDANA A.KADIR ADABI 2023
Kira-kira 500 tetamu memeriahkan perasmian Syarahan Perdana Abdul Kadir Adabi 2023 yang berlangsung pada 14 September 2023.
Majlis yang diadakan di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji itu telah Disempurnakan oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato' Haji Mohamad Rizam Bin Tengku Abdul Aziz, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Syarahan Perdana A. Kadir Adabi 2023 ini adalah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, MAIK dan Pertubuhan Peradaban Melayu Kelantan.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Berusaha Dr. Hazami bin Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP).
Syarahan Perdana A.Kadir Adabi telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Muhamad Fadli Ghani, Pegawai Penyelidik Perbadanan Muzium Negeri Kelantan yang bertajuk Tok Kenali: Ketokohan, Pemikiran dan Sumbangannya Dalam Bidang Persuratan.
- Kadir Adabi adalah tokoh terkemuka dan pemikir yang mendahului zamannya. Beliau seorang pengarang, tokoh nasionalis, intelektual dan pemikir, ahli Bahasa Melayu, editor dan wartawan serta aktivis sosial.
Pada majlis sama, Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato' Haji Mohamad Rizam Bin Tengku Abdul Aziz, turut melancarkan Buku Naskhah Sejarah Kelantan : Transliterasi dan Anotasi dan Cakerawala Puisi Islam terbitan MAIK serta buku Biografi Ulama Malaysia : Nik Mohd Mohyideen Wan Musa Perintis Pendidikan Islam di Malaysia terbitan DBP.
Para tetamu juga diserikan dengan persembahan Puisi Tok Kenali yang disampaikan Yang Berbahagia Dato' Haji A Aziz Deraman, Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan.
Program syarahan tersebut penting untuk menimbulkan kesedaran mendalam dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda agar mengenali tokoh terkemuka tempatan dan menghargai jasa bakti, sejarah perjuangan dan warisan persuratan serta ilmu dan pemikiran ditinggalkan oleh tokoh.