
BENGKEL PENERAPAN PENGAJARAN INDRAGOGI KEPADA GURU KFAM
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) telah menganjurkan Bengkel Penerapan Pengajaran Indragogi Bagi Mata Pelajaran Al-Quran dan Fiqah Kepada Guru Kelas Fardu Ain Mingguan Saudara Baharu (KFAM) pada 21 hingga 22 Februari 2025 di Hotel Ibis Style Kota Bharu.
Bengkel berkenaan telah disertai seramai 27 guru KFAM dari pelbagai daerah di negeri ini bertujuan meningkatkan pemahaman serta kemahiran indragogi guru Kelas Fardhu Ain Mingguan Saudara Baharu dalam menyampaikan pengajaran yang lebih berkesan kepada pelajar.
Matlamat utama bengkel ini adalah untuk membolehkan para guru memahami dan mengaplikasikan konsep indragogi dalam pengajaran mereka, khususnya bagi mata pelajaran al-Quran dan Fiqah.
Bagi pemantapan, terdapat beberapa pengisian sepanjang bengkel ini berlangsung iaitu, pengenalan kepada konsep indragogi dalam pengajaran Islam, strategi dan Teknik indragogi dalam pengajaran al-Quran dan fikah; amali dan simulasi pengajaran menggunakan kaedah indragogi dan terakhir ialah diskusi dan perkongsian pengalaman dalam pengajaran KFAM.
Penceramah dan fasilitator bengkel ini telah dikendalikan oleh tenaga pakar dalam bidang Pendidikan Islam dan indragogi termasuklah pensyarah dari institusi pengajian tinggi IPGM Bangi, Selangor Darul Ehsan.
Bengkel ini turut dihadiri Yang Berusaha Tuan Haji Murtadha bin Abdullah, Ketua Pegawai Agama MAIK.
Kesimpulannya, bengkel ini telah mencapai objektif yang ditetapkan dan dalam masa sama mereka memberikan maklum balas positif serta mencadangkan program seperti ini dilaksanakan secara berkala bagi meningkatkan lagi keberkesanan pengajaran KFAM.
Pihak MAIK dan JAHEAIK mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan bengkel ini dan berharap agar ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam menyebarkan syiar Islam kepada saudara baharu.