faq lokasi aduan peta


BERITA 2024

MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

“HENDAKLAH KEMBALI KEPADA AKAR SEJARAH DAN TAMADUN BANGSA” : TITAH YANG TERAMAT MULIA TENGKU MAHKOTA KELANTAN

Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra, Tengku Mahkota Kelantan telah berkenan merasmikan Wacana Intelektual Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V Yang Ke 55 Tahun 2024.

Baginda mengampuni perkenan untuk menyempurnakan majlis julung kali anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) itu yang diadakan di Renai Hotel, Kota Bharu semalam.

Pada majlis tersebut, Baginda Tuanku telah menyampaikan titah yang amat bermakna buat seluruh rakyat Malaysia khususnya kelahiran negeri tersohor dengan jolokan “Negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga”.

“Pada hari ini beta menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Negeri Kelantan tanpa mengira keturunan etnik dan kaum hendaklah kembali kepada akar sejarah dan tamadun bangsa Malaysia ini.”

“Mentaati institusi raja bermakna kita juga mencintai perpaduan dan cintakan negara. Berpegang teguhlah bahawa di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung. Raja berdaulat, jati diri dimartabat, negeri berkat,” titah Baginda di hadapan lebih 500 tetamu yang menghadiri majlis tersebut.

Majlis berkenaan turut dihadiri Yang Amat Berhormat Dato’ Panglima Perang, Dato’ Haji Mohd Nasuruddin bin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan dan Yang Berhormat Mulia Tengku Tan Sri Dato' Haji Mohamad Rizam Bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan juga Yang Dipertua MAIK.

Baginda juga bertitah, sesungguhnya program ini digagaskan bagi mengisi ruangan intelektual sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V Yang Ke 55 Tahun 2024.

“Wacana ini diharapkan menjadi ruang bagi kita memahami dengan lebih tepat tentang aspek jati diri bangsa dan masyarakat sejahtera, khususnya tentang peranan raja-raja melayu sebagai lambang bagi perpaduan rakyat dan bangsa Malaysia.

“Sistem kerajaan dan negara berpayungkan raja adalah warisan kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman. Institusi raja adalah sistem kerajaan yang mempunyai landasan sejarah dan tradisi luhurnya yang tersendiri.

“Institusi raja telah lama berakar di bumi Melayu dengan sistem pemerintahan yang didukung oleh pentadbiran yang berwibawa lagi tersusun serta berjaya menyatukan rakyat berupaya mengekalkan keamanan dan berusaha merealisasikan kegemilangan. Raja juga merupakan lambang kuasa dan perpaduan,” titah Baginda.

Pada titah sama, Baginda turut berkongsi bahawa pada zaman pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Mansor, sistem perundangan Islam telah diperkenalkan.

Baginda menubuhkan mahkamah negeri dan mahkamah syariah. kemudiannya, Baginda Sultan Mansor juga telah memasyhurkan ‘Tahun Kebudayaan Negeri’, sebagai satu langkah awal ke arah menerapkan hukum syarak dalam pentadbiran dan kehidupan rakyat Negeri Kelantan.

Selain itu, Baginda Sultan Mansor juga telah memperkenalkan Penubuhan Suruhanjaya Tanah. Iaitu sebuah pejabat tanah pusat telah didirikan di Kota Bharu pada tahun 1897.

Untuk makluman bersama rakyat jelata juga, Baginda Sultan Mansor juga telah mewakafkan tanah di Makkah untuk kemudahan para jemaah haji dan kegiatan anak-anak Kelantan belajar di sekitar Masjid Al-Haram.

Selain pewakafan di tanah Makkah, Baginda Sultan Mansor juga turut mewakafkan tanah di Kelantan. Sultan Mansor merupakan pewakaf terawal yang direkodkan di Kelantan.

Sultan Mansor sinonim dengan raja yang alim, warak, kuat agama, menguatkuasakan undang-undang sivil dan syariah, menggagaskan pelantikan mufti kerajaan pertama Kelantan, pemahsyur tahun kebudayaan negeri, menubuhkan suruhanjaya tanah, perwakafan tanah, pemantapan sistem kehidupan dan pemerintah yang adil dan saksama, menyebabkan rakyatnya hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

#MAIK2024

#WacanaIntelektual

 

 

flickr

www.flickr.com

Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini307
Kelmarin3906
Minggu Ini11341
Bulan Ini83376
Jumlah Pengunjung31538698