faq lokasi aduan peta


BERITA 2024

MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

MAIK WUJUDKAN SEKOLAH TAHFIZ AL-QURAN DI DALAM PENJARA KELANTAN

 

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berjaya menubuhkan sekolah tahfiz Al-Quran di dalam penjara di negeri Kelantan sekali gus bakal melahirkan huffaz dalam kalangan penghuni penjara.

Kejayaan penubuhan Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan ini adalah yang pertama di dalam penjara Negeri Kelantan dan yang ketiga di Malaysia merupakan projek rintis hasil usaha sama pihak MAIK dengan kerjasama Jabatan Penjara Negeri Kelantan.

Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan ditubuhkan di Pusat Pemulihan Akhlak Machang.

Idea penubuhan sekolah tahfiz di dalam penjara ini diilhamkan oleh Yang Berhormat Mulia, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan, juga Yang Dipertua MAIK.

Sebanyak RM 122,234.00 telah disalurkan oleh MAIK kepada Jabatan Penjara Negeri Kelantan bagi menyiapkan sebuah sekolah tahfiz yang kondusif kepada para prospek.

Selain itu, elaun bulanan sebanyak RM200 kepada setiap prospek dan Penggajian Guru Tahfiz Al-Quran disalurkan oleh MAIK melalui dana manfaat wakaf Sultan Mansor bagi tujuan khas pengajian al-Quran.

Latar Belakang Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan :

  1. Seramai 30 orang sahaja dipilih daripada 41 orang yang menjalani proses temu duga.
  2. Prospek terpilih antara umur 24 hingga 57 tahun.
  3. Tempoh hukuman adalah 3 tahun dan ke atas.
  4. Dipilih dalam kalangan anak Kelantan sahaja.
  5. Prospek dikecualikan daripada mengikuti aktiviti yang kebiasaannya dilakukan oleh pesalah lain.
  6. Ditempatkan dalam sel penjara khas berbanding pesalah lain.

Amat membanggakan kami juga apabila dalam tempoh lima bulan pengoperasian sekolah tahfiz ini, ia telah menunjukkan prestasi hafazan di luar jangkaannya ;

6 Juzuk : 2 prospek

5 Juzuk : 4 prospek

4 Juzuk : 5 prospek

3 Juzuk : 8 prospek

2 Juzuk : 4 prospek

Juzuk 30 : 6 prospek

Penubuhan sekolah ini juga amat bermakna kerana keberangkatan Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra, Tengku Mahkota Kelantan yang telah berkenan mencemar duli untuk menyempurnakan majlis perasmian sekolah tahfiz tersebut di Pusat Pemulihan Akhlak Machang, Kelantan.

Baginda ketika bertitah turut menzahirkan pesanan supaya prospek menggunakan sebaik-baiknya peluang dan kelebihan yang diberikan ini untuk manfaat diri sendiri, agama dan masyarakat pada masa akan datang.

Selain itu, baginda turut bertitah agar para prospek sentiasa fokus dan bersungguh-sungguh dalam hafazan Al-Quran serta mengulangkaji mengikut garis masa yang telah ditetapkan.

Pada majlis sama, baginda turut mengurniakan sumbangan kepada 30 orang prospek dan turut berpeluang mendengar hafazan.

Majlis turut dihadiri Yang Berhormat Mulia, Tengku Temenggong Kelantan bersama Yang Mulia Tengku Puan Temenggong Kelantan, Yang Berhormat Dato’ Dr Mohamed Fadzli bin Dato’ Haji Hassan, Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Haji Nordin bin Haji Muhamad dan Yang Amat Berusaha, Dr Hasnan bin Haji Ramli, Timbalan Yang Dipertua MAIK.

Atas kejayaan ini, pihak MAIK dan Jabatan Penjara Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Kerajaan Negeri, Jabatan Persekutuan dan semua pihak yang telah menjayakan penubuhan Sekolah Tahfiz Al-Quran Al-Furqan di Pusat Pemulihan Akhlak Machang.

flickr

www.flickr.com

Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini122
Kelmarin2924
Minggu Ini11943
Bulan Ini40662
Jumlah Pengunjung27507105