
“TIDUR HANYA BERALASKAN KOTAK KAYU”
Misi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyantuni keluarga asnaf pada bulan Ramadan hari ini diteruskan ke kawasan sekitar Mukim Langgar, Kota Bharu bersama Yang Amat Berbahagia, Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussein, Timbalan Yang Dipertua MAIK.
Kami santuni 3 buah keluarga hari ini. Cuma pada coretan yang ini, kami kongsikan betapa tidak terbayangnya di fikiran kita masih ada insan diuji dengan kisah menyayat hati sebegini rupa. Kami dimaklumkan terdapat sebuah keluarga hidup dalam kedaifan.
Petang tadi kami, turut disertai Yang Berusaha Tuan Haji Muhamad Rasani bin Ramli (Setiausaha MAIK), Yang Berusaha Puan Siti Farahida binti Fauzi (Pegawai Agihan Zakat MAIK) dan ditemani Al-Fadhil Ustaz Wan Saifuddin Bin Wan Abdul Ghani, Imam Tua Masjid Jamek D’Raja Long Yunus Langgar dengan segera singgah di rumah Pakcik Ibrahim bin Mamat, berusia 79 tahun, dekat Kubur Maras.
Setibanya kami, dia sedang terbaring dan dipakaikan baju oleh anak perempuannya. Kami dimaklumkan Pakcik Ibrahim menghidap strok sejak 2 tahun lalu. Lebih menyentuh hati kami apabila katil yang dibelikan oleh anak-anak Pakcik Ibrahim telah patah. Disebabkan tidak mampu dia terpaksa guna. Dia juga terbaring di atas tilam nipis yang sangat buruk. Dengan kata lain dah tak tergamak untuk kita guna. Tapi itulah hakikatnya ujian Pakcik Ibrahim dengan anak-anak.
Dalam masa sama, pandangan kami terarah bilik di hadapan katil Pakcik Ibrahim. Anak perempuannya memberitahu di situlah tempat adik lelaki yang menjaga Pakcik Ibrahim solat dan satu bilik lagi digunakan untuk tidur. Bukannya tidur di atas tilam yang empuk, tapi tidur beralaskan ‘kotak kayu’ yang dijadikan tempat beradu. Anak lelaki pula bekerja sebagai pengutip kotak. Terkejut kami mendengarnya. Allahuakbar.
Rasa sebak tidak dapat dibendung lagi. Akhirnya air mata kami tumpah kerana menyaksikan betapa susahnya hidup mereka.
Bukan itu sahaja, kami juga perasan yang konkrit lantai rumah berlubang-lubang. Lagi mengejutkan kami ‘daun pintu’ pun tak ada. Hanya pagar besi yang berkarat sahaja ada. Binatang liar pun pernah masuk ke dalam rumah mereka. Allahuakbar.
Kami sebenarnya kagum, meskipun si ayah yang tidak berharta sedang terlantar, kasih anak-anak kepada si ayah tidak pernah luntur. Mereka tidak tinggalkan si ayah keseorangan, mereka sanggup menjaga si ayah meskipun dengan serba kekurangan. Kerana mereka tahu betapa besarnya pahala menjaga ibu bapa.
Dengan keadaan yang sangat daif ini, Yang Amat Berbahagia, Dato’ Timbalan Yang Dipertua MAIK mahukan rumah keluarga ini dibaik pulih dengan segera dan disiapkan sebelum Aidilfitri. Beliau juga mengarahkan segera supaya menghantar katil dan tilam baharu yang lebih selesa dengan keadaan kesihatan Pakcik Ibrahim.
Tidak cukup dengan itu sahaja, kami juga meluluskan bantuan tetap bulanan MAIK sebanyak RM600 sebulan dan bantuan wang tunai segera berjumlah RM1,000. Mereka sebenarnya sudah mendapat bantuan JKM sebanyak RM600 sebulan. Dengan duit zakat MAIK ini dapatlah menampung kos perubatan, pembelian lampin pakai buang, susu khas dan keperluan lain.
Semoga kisah ini dapat menjentik lebih ramai insan-insan yang mampu dan layak untuk menyempurnakan kewajipan mereka dengan berzakat bersama MAIK. Dengan zakat inilah lebih ramai lagi kita mampu bantu kongsikan sinar kegembiraan buat insan-insan memerlukan ini. Sedikit bagi kita, sebenarnya amat besar nikmatnya buat mereka.
Sempena Ramadan, Ayuh Sucikan Harta Dengan Berzakat