
ZIARAH BERSEPADU KE PERKAMPUNGAN ORANG ASLI NEGERI KELANTAN BERSAMA AGENSI, IPT DAN NGO
Program Ziarah Bersepadu ke Perkampungan Orang Asli telah dirancakkan lagi dengan kolaborasi bersama agensi kerajaan, Institut Pengajian Tinggi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Pada tahun 2025, Program Ziarah Dakwah Bersepadu Bersama Agensi, IPT dan NGO ke kampung Orang Asli dijalankan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bermula bulan Februari dan dimulakan di Pos Pasik, Gua Musang pada 13 hingga 15 Februari lalu.
Ini adalah salah satu usaha menggerakkan dakwah bil hal selain merapatkan jalinan hubungan antara masyarakat Orang Asli Negeri Kelantan. Pelaksanaan program tersebut turut melibatkan kerjasama daripada Penggerak Masyarakat Orang Asli Negeri Kelantan (PMOA), JAKIM, Muallim JAHEAIK, Islamic Outreach ABIM Kelantan dan Guru Agama Orang Asli (GAOA), MAIK.
Pada program kali ini seramai 322 Ketua Isi Rumah (KIR) masyarakat Orang Asli di Negeri Kelantan termasuk Orang Asli bukan Islam turut menerima bantuan bakul makanan keperluan asas. Untuk makluman juga pada tahun 2024, kami telah menyantuni penduduk di 11 perkampungan Orang Asli sekitar Gua Musang dan Lojing. Antaranya adalah, KOA Aring 5, KOA Pasir Linggi, Pos Bihai, Pos Kuala Lah, Pos Kuala Wok, Pos Hendrop, Pos Hau dan Pos Gob.
Turut hadir pada program tersebut Yang Berusaha Encik Mohd Zulkipli bin Yaacob, Penolong Pegawai Dakwah I MAIK, Yang Berusaha Encik Mohammad Azrul Fahmi bin Yaafar, Penolong Pegawai Dakwah II MAIK dan urus setia Unit Dakwah, MAIK.
Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menggerakkan program dakwah ini, kerana tanpa penglibatan kalian semua program sebegini tidak akan direalisasikan dengan jayanya dan mencapai matlamatnya.