BIASISWA MAIK UBAH HIDUP AZILA
Walaupun dibesarkan dalam keluarga yang tidak berkemampuan dan hanya ibunya yang menjadi tonggak utama keluarga selepas kematian ayahnya, namun semangat Noor Azila Ayub untuk meneruskan pengajian tidak pernah padam.
Mengakui pernah buntu memikir kos pengajian selepas mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah, dalam bidang Pengurusan Pemasaran di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) namun, semangat untuk mengubah nasib keluarga tidak pernah pudar meskipun menghadapi kekangan kewangan.
Ibarat kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu, Noor Azila bernasib baik apabila kesempitan hidup mereka sekeluarga mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Noor Azila yang menetap di Kampung Cherang Ruku, dekat Pasir Puteh itu sangat bersyukur kerana MAIK telah menawarkan penajaan Program Biasiswa Zamalah Pendidikan MAIK bagi membantu pengajiannya di peringkat universiti.
Sebelum ini juga, Noor Azila yang berusia 20 tahun itu adalah merupakan penerima Biasiswa Tengku Anis (BTA) MAIK sejak November tahun 2019 sehingga Mei tahun lalu iaitu sepanjang pengajian di peringkat menengah.
Noor Azila memberitahu, dia amat terhutang budi dengan pihak MAIK yang terlalu banyak jasanya dalam membantu dirinya meneruskan pengajian sejak tingkatan enam sehinggalah di peringkat universiti.
“Ayah telah meninggal dunia ketika saya kanak-kanak lagi. Ayah tidak sempat melihat kejayaan saya. Tapi saya tahu jika ayah masih ada dia nak tengok saya berjaya walaupun kami bukan orang senang.
“Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh. Dengan peluang yang diberikan oleh MAIK ini, saya tidak akan sia-siakan. Inilah masanya untuk saya membalas jasa mereka dan ibu saya. Saya nak banggakan keluarga saya,” katanya.
Anak bongsu daripada empat beradik ini juga memberitahu, dia mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh PNGK 4.0 pada peperiksaan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) lalu yang mana dengan bantuan BTA daripada MAIK itulah digunakan untuk membeli keperluan untuk belajar sehingga dia mendapat keputusan cemerlang.
Sebagai penghargaan, pihak MAIK diwakili Pegawai Pendidikan MAIK, Nur Hanis Alias bersama Pegawai Komunikasi Korporat MAIK, Muhamad Firdaus Mat Rahim telah mengunjungi rumah adik Nir Hanis bagi menyampaikan saguhati di atas kecemerlangan dicapainya itu.
Selain menerima saguhati RM1,000 daripada MAIK , keluarga Noor Azila juga turut diberikan bakul makanan bagi meringankan beban mereka sekeluarga.
Bersyukur sebagai penerima bantuan biasiswa MAIK, Noor Azila yang bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan berjaya itu juga berkata, sepanjang pengajian juga selain menggunakan duit gaji ibunya yang bekerja sebagai juruwang di stesen minyak, MAIK lah yang banyak membantunya.
Katanya, selain komputer riba, buku rujukan dan semua keperluan kerja kursus bergantung sepenuhnya kepada biasiswa berkenaan memandangkan dia hanya bergantung kepada ibu sepenuhnya untuk menyara mereka sekeluarga.
"Dengan duit biasiswa inilah saya guna untuk bayar 'topup internet’ yang saya guna sebab sekarang belajar secara atas talian di rumah. Semuanya guna internet. Alhamdulilah mujur ada biasiswa MAIK, kalau tidak, kesian ibu saya, banyak juga kos kena tanggung.
“Kalau dulu, saya kena tunggu gaji ibu dulu untuk beli barang-barang belajar. Kadang-kadang tak dapat beli. Alhamdulillah dengan biasiswa MAIK inilah dapat menampung perbelanjaan saya dan tidak perlu membebankan ibu saya sepenuhnya," katanya.
Noor Azila juga turut berterima kasih kepada semua pembayar zakat kerana dengan harta yang diinfakkan menerusi MAIK itu dapat membantunya merealisasikan impian melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.
“Tanpa pembayar zakat, belum tentu saya dapat sambung belajar. Saya akan pastikan saya berjaya dalam pengajian supaya saya dapat bergelar ahli perniagaan dan seterusnya dapat menjadi salah seorang pembayar zakat dan seterusnya dapat membantu insan-insan memerlukan,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Rohana Ismail, 50, sangat bersyukur kerana keluarganya mendapat perhatian MAIK, terutamanya dalam soal pendidikan anak bongsunya, memandangkan gajinya sebagai juru wang hanya cukup-cukup makan iaitu RM1,100 sebulan.
Katanya, sejak suaminya meninggal dunia akibat lemas pada tahun 2004, dia hilang arah untuk meneruskan kehidupan tambahan ketika itu, anak-anak masih kecil dan suami adalah punca utama pendapatan mereka sekeluarga.
“Dengan duit gaji inilah juga saya berjimat cermat hendak siapkan rumah dan juga membesarkan anak-anak. Bukan itu sahaja, saya juga fikirkan soal duit jika Azila dapat belajar lebih jauh. Alhamdulillah kini saya sangat lega dan berterima kasih kepada pembayar zakat dan MAIK kerana membantu kami sekeluarga.
"Saya pesan pada Azila, teruskan belajar, bantulah keluarga kita. Keluarga kita bukan orang berada. Gunalah bantuan dari MAIK ini sebaik mungkin. Tidak semua terpilih dan bertuah, jadi jangan lepaskan peluang ini. Balas jasa orang yang bantu kita (MAIK dan pembayar zakat) dengan kejayaan,” katanya.
Disediakan Oleh : Rosmiza Binti Kasim