faq lokasi aduan peta


BERITA 2021

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

MAIK JENGUK DAN BANTU KELUARGA ‘MAT TEREY’

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) hari ini telah menyantuni keluarga kepada Muhammad Zul Apis bin Baharum, atau lebih dikenali dengan nama jolokan sebagai Mat Terey.

Mat Terey adalah insan istimewa yang tersohor di Kelantan berikutan perwatakkannya 'suka bercakap' yang dirakam dan disiarkan di media sosial.

Kisah hidup nenek kepada Mat Terey ataupun Makcik Poh binti Saad, 61 yang menderita kanser tulang tahap empat itu sampai ke pengetahuan MAIK.

Hari ini, Yang Berusaha Setiausaha MAIK, Encik Muhamad Rasani bin Ramli tampil dengan segera untuk bertanya khabar dan mendalami kesusahan yang dihadapi keluarga Makcik Poh yang tinggal bersama anak, menantu dan dua cucunya di Banggol Tebakang, Ketereh.

Menceritakan kesusahan yang dialaminya itu, ibu kepada tujuh anak itu memberitahu dia kini tidak mampu bergerak secergas dahulu lagi.

Sudah lebih 20 tahun, dia diuji dengan kanser tulang dan juga penyakit lelah, bahkan dia turut mengalami kecederaan pada paru-parunya setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu.

"Sudah lapan bulan makcik batuk, batuk keluar darah beku. Makcik pun ada (penyakit) lelah kena bergantung pada alat penyedut (inhaler) setiap hari. Macam inilah hidup makcik, bergantung pada ubat," katanya dalam nada sebak.

Makcik Poh juga memberitahu dia baru sahaja seminggu keluar wad dan keadaan dirinya masih tidak begitu kuat. Makcik Poh juga perlu berjumpa pakar dua kali sebulan dan setiap hari lebih lapan biji ubat kena telan. Jika tidak ikut sukatan, hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa sakitnya tubuh badannya.

Dia juga meluahkan rasa bersyukur kerana dia mendapat bantuan bulanan berjumlah RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ceritanya juga ada anak-anak menghulurkan duit tetapi tidaklah banyak, sekitar RM30 sahaja, itupun sekiranya mereka mempunyai duit lebih.

Tidak mengapalah kata sang ibu, meskipun sedikit, Makcik Poh memahami kerana masing-masing ada tanggungan dan bekerja kampung.

Makcik Poh yang teruja dengan kedatangan pihak MAIK itu juga turut membuat permintaan untuk membaiki atap rumahnya yang bocor. Mereka tidak mampu untuk membaikinya sendiri, duit yang ada cukup-cukup untuk makan, apatah lagi sekarang ini masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Hasil lawatan tersebut, MAIK bersedia untuk mempertimbangkan bantuan termasuklah untuk membantu membaik pulih rumah Makcik Poh yang tiris dan bantuan bersesuaian.

Kami juga kasihan, lagipun sekarang sudah menghampiri musim tengkujuh. Kalau hujan lebat, macammana keadaan mereka lima beranak nanti. Takkan nak biarkan tidur dibasahi hujan.

Mat Terey juga mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan MAIK yang segera menziarahi keluarganya. Mat Terey turut berterima kasih kepada pembayar zakat kerana dengan sumbangan itulah MAIK sampai di rumah neneknya dan dapat menghulurkan bantuan.

Disediakan Oleh : Rosmiza Binti Kasim

 

flickr

www.flickr.com

Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini1257
Kelmarin3726
Minggu Ini4983
Bulan Ini78045
Jumlah Pengunjung30901217