MAIK SANTUNI KELUARGA POK CIK JALI
"Dugaan pok cik ALLAH (SWT) bui nyakit laguni, dale mano tunggu nok tutup mato." Itulah luahan hati seorang ketua keluarga, Encik Mohd Razali bin Ismail, 58 yang tinggal di Kampung Pantai Baru, Bachok apabila dia kini terlantar sakit sejak Oktober tahun lalu.
Encik Mohd Razali hilang punca pendapatan sebagai nelayan tempatan sejak setahun lalu, kini dia hanya mampu terbaring kerana ditimpa penyakit, yang pada asalnya hanya disebabkan masalah gastrik atau 'medu', dan berlarutan kerana tidak boleh menerima makanan seperti biasa.
Menurut isterinya, Wan Yah binti Seman, 53, suaminya hanya dapat mengambil sarapan pagi dengan lima keping biskut kering dengan 'air manis' untuk membekalkan tenaga seharian.
Setelah itu dia tidak lagi boleh menerima apa-apa makanan. Malah dia juga tidak boleh mengambil sebarang ubat sebaliknya hanya berkumur dengan air sejuk dan air suam bergilir-gilir.
Selain itu, mereka masih menanggung seorang anak yang bersekolah menengah. Mereka kini bergantung harap dengan dua orang anak yang bekerja kilang.
Alhamdulillah, wang yang dikirim oleh anak-anak mampu membuat mereka bernafas. Wang itulah digunakan untuk perbelanjaan harian termasuk keperluan lampin pakai buang.
Syukur pada Allah, keperitan dan penderitaan yang dihadapi oleh Encik Razali mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
MAIK diwakili pihak Pentadbiran Masjid Mahmoodi Bachok iaitu Imam Tuanya, Al-Fadhil Ustaz Rosman bin Che Harun bersama Imam Mukim Badak Melawi, Al-Fadhil Ustaz Mohd Zain bin Yacob tampil menziarahi dan menghulurkan sumbangan sebanyak wang ringgit sebagai bantuan awal.
Diharapkan dengan sumbangan ini sedikit sebanyak mampu meringankan keperitan yang dtanggung oleh keluarga Encik Mohd Razali. insha'Allah.
Terima kasih juga diucapkan kepada semua pembayar-pembayar zakat MAIK.
Semoga ALLAH memberi limpahan pahala dan rezeki kepada mereka yang menginfaqkan hartanya dan menambah keberkatan kepada harta bendanya. Amin Ya Rabbal Alamin.
Disediakan Oleh : Rosmiza Binti Kasim