faq lokasi aduan peta


BERITA 2021

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

PENGURNIAAN BANTUAN TETAP BULANAN MAIK KEPADA 90 PENERIMA BAGI JAJAHAN TUMPAT

Alhamdulillah, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada hari ini telah menyampaikan Bantuan Tetap Bulanan MAIK kepada 90 penerima secara bersemuka bagi jajahan Tumpat.

Pengurniaan bantuan berkenaan disempurnakan oleh Yang Berhormat Mulia, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam bin Tengku Abdul Aziz, Yang Dipertua MAIK bersama Yang Mulia, Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati binti Tunku Abdul Rahman.

Selain kurniaan wang tunai, Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan bersama Yang Mulia Tengku Puan Temenggong Kelantan juga turut mengurniakan barangan keperluan dapur kepada kesemua penerima.

Majlis berkenaan turut dihadiri Yang Amat Berusaha, Haji Zulkifle bin Ab Rahman, Timbalan Yang Dipertua MAIK dan Yang Berbahagia isteri; Yang Amat Berusaha Haji Rusydee bin Abdullah, Ketua Jajahan Tumpat dan Yang Berbahagia isteri, serta Yang Berusaha Muhamad Rasani bin Ramli, Setiausaha MAIK, bersama Yang Berbahagia isteri.

Pada hari ini seramai 90 orang yang menerima Bantuan Tetap Bulanan MAIK sejak tahun 2000 sehingga sekarang telah menerima pengurniaan tersebut yang berlangsung di Masjid Ismaili Bandar Tumpat.

Bantuan ini pada kebiasaannya dimasukkan terus kepada akaun penerima, bagaimanapun pada hari ini diberikan secara tunai, supaya pihak MAIK dapat berinteraksi secara lebih dekat dengan penerima disamping dapat memantau perkembangan terkini mereka.

Selain itu juga, ia dapat membolehkan pihak MAIK merekodkan sebarang maklumat baharu penerima sebagaimana hasrat YBM Tengku Temenggong Kelantan.

Untuk makluman bersama, Bantuan Tetap Bulanan MAIK merupakan bantuan diberikan secara bulanan kepada asnaf yang layak untuk meringankan bebanan kewangan ataupun menampung perbelanjaan harian.

Bantuan ini diberikan kepada golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf berumur 60 tahun ke atas.

Bagi penerima bawah umur 60 tahun pula, bantuan ini boleh dipertimbangkan sekiranya pemohon menghidap penyakit kronik (terlantar/ tidak mampu bekerja) dan ibu tunggal yang tidak bekerja serta mempunyai tanggungan ramai.

Bantuan ini diharapkan dapat digunakan sebaik mungkin untuk membeli keperluan penerima dan juga bagi tujuan perkara-perkara yang bermanfaat. Hal ini adalah kerana wang diberikan tersebut adalah daripada sumber wang zakat.

Dikesempatan ini juga, MAIK ingin mengucapkan jutaaan terima kasih kepada para pembayar zakat kerana menerusi harta yang diinfakkan inilah, dapatlah kami menyempurnakan amanah mereka bagi membantu mengurangkan kesulitan hidup insan-insan yang memerlukan.

MAIK juga ada menyediakan bayaran zakat menerusi potongan gaji, Anda boleh klik di sini: https://www.e-maik.my/v2/pautan-eperkhidmatan/eptg

Disediakan Oleh : Rosmiza Binti Kasim

flickr

www.flickr.com

Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini1530
Kelmarin2407
Minggu Ini20421
Bulan Ini1530
Jumlah Pengunjung29306147