BANTUAN SEGERA MAIK : WARGA EMAS 100 TAHUN HILANG TEMPAT TINGGAL
Setelah mendapat perkhabaran duka yang mana dua rumah di Kampung Telekong, Kuala Krai terbakar, tanpa berlengah Al Fadhil Ustaz Armin Azahari bin Mamat selaku Imam Tua Masjid Tengku Faiz Petra, Kuala Krai bersama kakitangan masjid terus bergegas ke lokasi kejadian.
Alhamdulillah kejadian beberapa hari lalu itu tidak mengakibatkan kemalangan jiwa. Bagaimanapun rumah yang didiami warga emas berusia 100 tahun itu tidak dapat diselamatkan. Api marak dengan cepat, semuanya hangus dijilat api.
Sementara sebahagian rumah adik mangsa yang terletak bersebelahan juga turut terbakar.
Bagi meringankan beban, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) telah menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada warga emas tersebut manakala adiknya mendapat RM500.
Bantuan yang diberikan ini adalah hasil bayaran zakat kepada pihak MAIK. Terima kasih pembayar zakat MAIK. Hanya ALLAH SWT yang mampu membalasnya.