faq lokasi aduan peta


BERITA 2022

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

SAYA NAK ADIK SAYA PUN BOLEH CEDOK ILMU DI DARUL AITAM MAIK

“Terlalu banyak yang saya belajar di Darul Aitam. Jadi saya nak adik perempuan saya pun belajar di sini,” luah Nor Awatif binti Zubir, 19, yang merupakan bekas penghuni Rumah Kebajikan Darul Aitam di bawah kelolaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

Harapan itu dikongsikan Nor Awatif kepada kami yang ditemui ketika menemani adiknya pada Sesi Temuduga Pengambilan Penghuni Baharu Darul Aitam MAIK di Kompleks Islam Jubli Perak Ismail Petra, Pengkalan Chepa hari ini.

Nor Awatif yang merupakan anak sulong dari lima beradik itu memberitahu, sepanjang tiga tahun berada di asrama Darul Aitam Puteri itu, iaitu bermula dari Tingkatan Dua sehingga Tingkatan Lima banyak perkara yang dipelajarinya terutamanya mendekatkan diri dengan Maha Pencipta, ALLAH SWT.

Ceritanya, banyak ilmu yang dicedok hasil bimbingan para tenaga pengajar di sini, dari sekecil-kecil perkara sehinggalah mengajar dirinya takut kepada ALLAH termasuklah belajar menjaga aurat sebagai seorang muslimah dan tidak lagi mengabaikan solat. Alhamdulillah semoga ALLAH SWT tidak membolak-balikkan hatinya. Aamin Ya Rabbal Alamin.

Bukan itu sahaja, di sini juga dia turut dibantu dari segi akademik dan berkat bimbingan semua tenaga pengajar dan warden, Nor Awatif dapat menyambung pengajian di Kolej Komuniti Pasir Mas dalam jurusan Pengoperasian Perniagaan.

“Apabila kita dekat dengan ALLAH SWT, insyaALLAH segala urusan kita akan dipermudahkan. Sebab itulah saya mahu adik-adik saya juga tinggal di sini, supaya rohani, jasmani mereka dibentuk dengan baik. Di sini cukup lengkap bagi saya,” kongsinya yang juga merupakan anak yatim.

Berbekalkan didikan dan ilmu yang dicurahkan di sini, Nor Awatif menanam impian yang tinggi untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya dalam bidang perniagaan untuk mengubah nasib keluarganya setelah kematian ayahnya akibat kemalangan jalan raya. Dia juga mahu berbakti kepada ibunya, seorang OKU. Kini mereka menumpang kasih tinggal bersama ibu dan juga nenek yang sudah berusia 80 tahun.

Impian murni anak sulong ini amat menyentuh hati kami, katanya dia mahu berbakti kepada insan-insan yang memerlukan di luar sana dengan menjadi salah seorang daripada pembayar zakat MAIK.

Baginya, dengan cara inilah dapatlah membalas jasa insan-insan yang telah menginfakkan harta kepada MAIK, sehinggalah dia dapat meneruskan kehidupan dengan baik. Ini sekaligus memberikan ganjaran pahala yang sentiasa mengalir kepada pewakaf dan juga pembayar zakat.

Alhamdulillah, betapa gembiranya kami yang mendengar impian besar Nor Awatif ini. Bukan setakat kami, malah para penyumbang dan juga mereka yang menginfakkan harta menerusi MAIK juga sudah tentu sangat bersyukur. Semoga kebaikan yang dilakukan oleh anak-anak asnaf yang mendapat bantuan daripada hasil sumbangan mereka ini menjadi salah satu timbangan di sisi ALLAH SWT yang membawa syafaat di akhirat kelak.

 

 

flickr

www.flickr.com

Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini109
Kelmarin3366
Minggu Ini13073
Bulan Ini13073
Jumlah Pengunjung29317690

A- A A+