faq lokasi aduan peta


BERITA 2023

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

CATU OKSIGEN?

Mencatu oksigen? Mungkin kedengaran luar biasa. Namun itulah hakikat yang terpaksa dilakukan Kak Zamilah binti Md Yaacob, 53, terhadap suaminya, Ahmad Kamal bin Abdullah, 75, disebabkan masalah kewangan dihadapi mereka.

Bukan nak bertindak kejam tapi itulah cara mereka berjimat-cermat dalam keadaan terpaksa.

Abang Kamal menghidap kanser prostat dan tulang belakang yang mana sel-sel kanser telah merebak ke bahagian hati, kini terlantar.

Ada masanya, ketika melihat keadaan suaminya agak stabil, dia meminta izin untuk mematikan oksigen seketika. Cuma semasa solat dan makan, mereka sangat berhati-hati. Kena pastikan oksigen dalam keadaan baik kerana Abang Kamal cepat sesak nafas.

Kesusahan keluarga Kak Zamilah sampai ke pengetahuan kami beberapa minggu lalu. Pada minggu itu jugaklah, ketika Kelantan dilanda banjir dengan hujan lebatnya, tidak menghalang kami turun padang menunaikan amanah para pembayar zakat kami. Kami diwakili YBrs. Encik Ikhwan bin Mat Yasin, Pegawai Agihan Zakat, MAIK meredah hujan lebat menyantuni dan menghantar bantuan di rumah mereka di Peringat, Kota Bharu.

Ketika kami memasuki ruang rehat Abang Kamal, kami melihat lebih daripada 5 balang oksigen disusun di hujung katil. Banyaknya balang gas? Itu yang terlintas di fikiran kami. Satu minggu perlu guna 6 balang.

Memang patut pun ada banyak balang oksigen. Kak Zamilah perlu sediakan banyak balang, disebabkan dia sendirian yang uruskan Abang Kamal, dia jugalah yang kena hantar dan ambil anak bongsunya di Tingkatan 3, bersekolah di Kota Bharu. Dia tidak mahu sesuatu yang buruk terjadi. Lebih baik bersedia lebih awal katanya.

Seorang anak bekerja di Kuala Lumpur, seorang lagi baharu tamat belajar dan baru bekerja.

Alhamdulillah, anak-anak dapat membantu dari segi kewangan sekadar yang termampu. Itupun sudah melegakan Kak Zamilah dan suami.

Kak Zamilah memberitahu, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM2,800 sebulan untuk perbelanjaan perubatan suaminya, ini termasuk kos sewa mesin oksigen, membeli isian semula oksigen dan juga lampin pakai buang. Itu belum dikira lagi perbelanjaan persekolahan anak bongsunya.

Sebelum ini Kak Zamilah banyak bergantung dengan pertolongan jiran-jiran dan juga penghulu. Dengan merekalah Kak Zamilah bergantung harap. Tapi sampai bila Kak Zamilah perlu melalui semua ini?

Begitu juga dalam kehidupan kita, kita tidak pernah menjangka apa yang kita bakal lalui selepas ini. Hari ini kita sihat tetapi dengan kuasa ALLAH SWT, segalanya menjadi kemungkinan.

Nak diceritakan, Abang Kamal ini sebenarnya ketika di usianya muda, dia bekerja di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu meskipun gaji tidak begitu besar tetapi tetap berzakat. Katanya, tak banyak yang dibayar, tidak sampai RM50 pun. Namun betapa besarnya kuasa berzakat yang ALLAH SWT janjikan ganjarannya. Bukan insan lain yang menerima ganjarannya tetapi hari ini manfaat zakat itu ‘kembali’ semula kepadanya.

Dia sesekali tidak pernah menjangkakan akan menjadi salah seorang penerima manfaat zakat. Namun itulah hakikatnya. Realitinya wang zakat inilah dengan izin ALLAH SWT telah menjadi penyelamatnya, telah membantu menyelesaikan kebuntuan, kesempitan hidup dan dugaan yang dilaluinya.

Ketika kunjungan ke rumahnya, kami sampaikan Bantuan Perubatan sebanyak RM3,000. Kami juga menampung perbelanjaan perubatan bulanan Abang Kamal sebanyak RM1,000 sebulan. Tidak cukup dengan itu, Kami juga telah sampaikan berita yang melegakan fikiran Kak Zamilah dan Abang Kamal. Kami maklumkan, anak bongsu yang masih belajar di Tingkatan Tiga akan dipertimbangkan untuk menerima bantuan Biasiswa Tengku Anis, MAIK.

Selain berterima kasih kepada pembayar zakat, Abang Kamal dalam keadaan terlantar turut mendoakan agar mereka yang layak dan masih belum berzakat dibukakan pintu hati untuk menunaikan kewajipan tersebut.

ALLAHUAKBAR. Lihatlah betapa besarnya manfaat zakat. Bagi yang layak jom sama-sama kita berzakat.

#ZakatMAIK2023

#Terimakasihpembayarzakat

flickr

www.flickr.com

Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini3523
Kelmarin4195
Minggu Ini26252
Bulan Ini98287
Jumlah Pengunjung31553609

A- A A+