DAH LAMA TAK MAKAN AYAM...
Misi MAIK Cakno Sengoti membuka tirai penjelajahan ke rumah asnaf pada 6 Ramadan penuh keberkatan. Pada Selasa, kami memilih untuk menyantuni sebuah keluarga asnaf di Palekbang, Tumpat.
Sebelum menjenguk keadaan keluarga ini, kami telah menghubungi ibu kepada enam anak ini. Di awal perbualan, kami tidak memperkenalkan diri yang kami adalah pihak MAIK. Tanpa berselindung dia menceritakan kesempitan hidup dialaminya bersama suami dan enam anak.
Ketika dia sudah puas bercerita, kami memberitahu “esok pihak MAIK nak datang ke rumah akak boleh?” Dengan cepat dia menyebut “Alhamdulillah ALLAH SWT mendengar rintihan kami. Nadanya sudah berubah. Dia sebak. Sebelum perbualan berakhir, terdengar sayup - sayup di corong telefon. “Abang. Alhamdulillah rezeki anak-anak kita bulan puasa. MAIK nok wak mari pitis esok.” Terlintas di fikiran kami. YA ALLAH betapa keluarga ini memerlukan bantuan.
Keesokannya. Tepat jam 9 pagi kami diketuai YBrs. En Muhamad Firdaus bin Mat Rahim, Pegawai Komunikasi Korporat, MAIK bertolak ke Palekbang. Kami santuni keluarga Puan Nurul Hamiza binti Yakob, 33 dan suaminya, Razali bin Husin, 38 yang mempunyai 6 cahaya mata. Kedatangan kami disambut dengan senyuman dan keriangan anak-anak.
Ketika berbicara pada awalnya, perbualan kedua-dua kelihatan tenang. Tetapi, ketika kami menyentuh mengenai punca rezeki untuk membesarkan anak berusia 4 hingga 12 tahun dalam keadaan hidup serba kekurangan, sang ibu tidak dapat menahan sebak.
Akhirnya air matanya jatuh jua. Dia ceritakan keperitan hidup, yang mana si anak pernah menahan lapar kerana tidak ada duit. Dia juga tebalkan muka meminta dengan orang yang dikenalinya demi anak-anak. Ada rezeki, dapatlah pinjam duit. Boleh membeli. Kalau tak dapat pinjam, berlaparlah sementara. Anak-anak yang kecil pun sudah mengerti dengan kehidupan mereka.
Nasi dengan sambal tumis kosong itu menjadi menu kegemaran si anak. Nak meminta lebih-lebih tak mampu tunaikan. Makan ala kadar. Tapi hati sang ayah dan ibu mana yang sanggup melihat keadaan anak mereka sebegitu. Bayangkan jika kita berada di tempat mereka.
Hamiza memberitahu, dia tidak dapat mengharapkan suaminya 100 peratus yang bekerja sebagai tukang rumah. Suaminya pernah terkena penyakit kencing tikus. Kalau terlalu letih dia akan ‘jatuh’ dengan sendirinya. Hidup mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hamiza mengambil upah mengemas rumah, tetapi berapalah sangat.
Mujurlah empat anaknya mendapat bantuan persekolahan dari JKM. Bolehlah dia mencatu wang belanja. Sedikit untuk sekolah anak. Selebihnya berjimat untuk keluarga. Tapi masih tidak cukup. Wang sewa rumah sebanyak RM200 juga kena bayar.
Pada pagi itu, turut bersama kami juga menyantuni lapan beranak ialah bersama AF. Ustaz Mohd Sidek bin Mamat, Imam Tua Masjid Ismaili Jajahan Tumpat. Ketika mengunjungi mereka, kami telah menyampaikan bantuan segera berbentuk wang tunai sejumlah RM2,000 dan bakul makanan. Kami juga bawakan ayam mentah untuk dimasak. Dapatlah mereka nikmati ketika berbuka nanti. Mereka tidak putus-putus mengucapkan terima kasih atas bantuan zakat ini.
Hati kami tersentuh, tatkala sang ibu memberitahu sudah lama anak-anak tidak makan ayam. Nak beli tak mampu. Boleh makan nasi dengan sambal tumis pun sudah mewah bagi mereka. Sepanjang seminggu Ramadan juga, sang ibu berkata, ini kali pertama anak-anak dapat makan ayam. Sambil memotong ayam, sang ibu bertanyakan si anak, “Abang nak makan ayam tumis?” Si anak dengan senyum menjawab “Boleh mama”. Betapa gembiranya si anak.
Sebelum kami pulang. Sang ibu memeluk salah seorang daripadanya kami sambil menangis. Tidak dapat menahan air mata kesyukuran dan kegembiraan kerana membantu mereka yang terlalu memerlukan ini. Kami sangat tersentuh. Bilamana bantuan ini sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan. YA ALLAH betapa besarnya ganjaran pahala buat pembayar zakat kami, dengan harta diinfakkan ini telah menggembirakan keluarga ini.
YA ALLAH, Ya Tuhanku, kurniakan ganjaran terhebat buat para pembayar zakat.
TERIMA KASIH PARA PEMBAYAR ZAKAT, ANDA HERO ASNAF.