faq lokasi aduan peta


BERITA 2023

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

TIGA HARI MENAHAN LAPAR, BERTAHAN DENGAN AIR KOSONG...BAYI 5 BULAN BERMALAM DI DALAM KERETA

Beberapa hari lalu tular di media sosial, suami isteri dan anak-anak terpaksa tidur di dalam kereta kerana kesempitan hidup.

Terdapat pengikut MAIK yang baik hati telah 'mention' kisah sedih ini di Tik Tok MAIK. Terima kasih insan mulia ini.

Rentetan itu, kami terus lakukan lawatan segera kerana perkara sebegini bagi kami tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Kami bersama AF. Ustaz Wan Mohd Fikri bin Wan Sani, Imam Tua Masjid Sultan Yahya Petra, Jajahan Machang dan kru Unit Komunikasi Korporat MAIK menyantuni 8 beranak di Kampung Baka, Machang.

Ketika sampai, dari dalam kereta, kami melihat sang isteri sedang termenung di buaian sambil meriba anak kecil, sang suami pula bersama anak-anak yang lain di sekitar pokok, berteduh daripada panas pagi. Kami faham betapa banyaknya masalah di benak fikiran mereka.

Kami meminta izin, membuat rakaman, kerana kami tahu kisah mereka ini sangat sensitif. Sudah setahun Siti Sarah binti Mazlan,30 dan suaminya, Adam Deraman,30 bersama anak-anak bergilir tidur di dalam kereta.

Siti Sarah memberitahu, dia bersama suami dan dua anaknya yang salah seorang berusia lima bulan terpaksa bermalam di dalam kereta wira pemberian bapanya. Dua lagi anaknya dibiarkan bermalam di rumah ibunya.

Bukan mereka lapan beranak tidak mahu menumpang tidur di rumah ibunya, tetapi rumah ibunya sudah ramai penghuni. Tidak mahu menyusahkan. Anak Siti Sarah berusia 13 tahun (belajar di sekolah pendidikan khas), 8, 6, 5, 3 tahun dan yang bongsu berumur 5 bulan.

Kesempitan hidup mereka bermula apabila sang suami yang bekerja sebagai tukang rumah menghadapi masalah. Nasib baiklah majikannya memahami keadaan mereka. Wang belanja harian semakin susut. Demi keluarganya, dia mengambil upah menghantar pesanan dan menjual barangan kosmetik.

Ada kala dapat 20 ringgit sehari, ada masa rezeki lebih, dapatlah 40 ringgit sehari. Tapi masih ada insan yang baik hati di luar sana cerita Siti Sarah. Ada antara pembeli bersedekah setiap kali membuat pesanan dan ada juga yang dengan ikhlas memberikan mereka duit tanpa perlu menghantar barangan.

Alhamdulillah rezeki si kecil.

Perbualan kami diselangi dengan air mata. Kesedihan seorang ibu tidak dapat disembunyikan. Air mata Siti Sarah mengalir laju mengingatkan kembali detik-detik ketika dia dan anaknya berusia lima bulan tidur di dalam kereta bersama suami dan seorang lagi anaknya.

Menceritakan saat dia merenung wajah si anak yang tidur bertemankan cahaya bulan, ditemani gigitan nyamuk, berada dalam keadaan tidak selesa, air mata Siti Sarah tumpah. Sang suami turut menyapu air mata yang mengalir, dia tidak kuat untuk melihat sang isteri menangis. Sang suami menggosok belakang sang isteri. Untuk tenangkannya.

Perbualan kami semakin menyedihkan. Siti Sarah menyebut dia bersama suami dan anak-anak pernah tiga hari tidak makan. Tiga hari bertahan dengan air kosong. Bayangkan anak-anak yang kecil ini berlapar. Bagaimana keadaan mereka. Anak kita yang lambat diberikan makan pun dah meraung kelaparan. Bingit satu rumah. Inikan pula tiada secebis makanan. Perut mereka buncit dengan air kosong.

Kami yang mendengarnya tersentap. Hati kami lagi sedih bila Siti Sarah menganggap dirinya seorang ibu yang tidak berguna kerana anak-anak berada dalam keadaan sebegini rupa.

YA ALLAH Ya Tuhanku. Kuatkan hatiku jangan biarkan air mata kami ini juga tumpah di hadapan Siti Sarah. Kami tunduk seketika. Betapa besarnya ujian mereka ini.

Siti Sarah juga memberitahu, ada diantara anak-anaknya yang terlalu tertekan dengan kehidupan mereka, sehinggakan ada diantaranya yang pernah ketawa dan bercakap sendirian. ALLAH HUAKBAR.

Hari ini kami pihak MAIK mewakili para pembayar zakat telah memberikan keluarga Siti Sarah cahaya kehidupan yang semakin terang. Kami serahkan wang zakat sebanyak RM3,000. Kami berikan barangan dapur dan kami sampaikan berita gembira untuk membiayai bayaran rumah sewa kepada mereka lapan beranak.

Pembayar zakat, lihatlah betapa bermaknanya wang zakat kalian. Dengan wang inilah MAIK telah memberikan mereka semangat baharu.

Kami sampaikan ucapan terima kasih daripada Siti Sarah sekeluarga buat semua pembayar zakat. Nilai yang kecil bagi anda tapi sebenarnya sangat besar buat para asnaf.

Pihak MAIK juga menjemput mereka lapan beranak untuk berbuka puasa sepanjang Ramadan ini di Masjid Sultan Yahya Petra, Bandar Machang.

Nikmatilah juadah berbuka seenak-enaknya. Tidaklah mereka berkongsi sebungkus nasi 3 orang.

Terima kasih pembayar zakat. Anda Hero Sebenar Asnaf.

#MAIK2023

#ZAKATMAIK

 
flickr

www.flickr.com

 

 

 


Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini311
Kelmarin2481
Minggu Ini22180
Bulan Ini6377
Jumlah Pengunjung30829549

A- A A+