PEMBAYAR ZAKAT TERMUDA MAIK...PEMILIK TUMBLER RM1,800 BERUSIA 14 TAHUN
Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya binti Mohd Mustamaman ataupun dikenali dengan panggilan Piya, juga gadis comel yang viral dengan memiliki tumbler RM1,800 telah hadir ke Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada petang semalam.
Piya yang berusia 14 tahun ini merupakan seorang pengasas produk kesihatan (Beby Curve) telah datang ke MAIK bagi menunaikan kewajipannya untuk membayar zakat perniagaan bagi tahun 2022.
Dia ditemani ibu dan bapanya tiba sekitar jam 3 petang telah membayar zakat berjumlah RM10,000 menerusi AF. Ustaz Ameer Azeezy bin Tuan Abdullah, Ketua Pegawai Zakat MAIK di pejabatnya.
Pelajar Tingkatan 2 ini merupakan pembayar zakat termuda MAIK. Alhamdulillah, berkat pesanan yang sentiasa dititipkan oleh kedua ibu bapanya menjadikan Piya tidak sesekali lupa untuk membayar zakat.
Setelah perniagaan yang diusahakan sejak tahun lalu semakin meningkat, Piya merebut peluang membayar zakat kepada MAIK pada hari pertama Ramadan tahun 2023 ini. Alhamdulillah. Semoga rezeki Piya semakin bertambah.
Piya juga menceritakan, membayar zakat menjadi keutamaan baginya, ketika mana perniagaannya mula melonjak. Baginya dalam rezeki yang dimilikinya ini sebenarnya terdapat rezeki orang lain lagi yang masih memerlukan di luar sana terutamanya golongan asnaf untuk dikongsikannya.
Sama-sama kita doakan agar hasrat anak keenam dari lapan beradik ini untuk menjadi pembayar zakat tertinggi MAIK dan membantu asnaf-asnaf di Kelantan menerusi zakat akan menjadi kenyataan. Amin, amin, amin Ya Rabbal Alamin.
Semoga sikap positif Piya ini akan menjadi inspirasi kepada semua.