faq lokasi aduan peta


BERITA 2023

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

DIBALAS DENGAN AIR MATA...BERHENTI KERJA DEMI MENJAGA IBU DAN NENEK UZUR

Kali ini kami menziarahi sebuah keluarga asnaf di Tanjong Mas, Kota Bharu setelah mendapat maklumat bahawa mereka memerlukan bantuan segera.

Kisah mereka sangat menyentuh hati kami. Seorang anak yang bekerja di pasar raya telah mengambil keputusan untuk berhenti kerja demi menjaga ibunya sejak setahun lalu. Ibunya, Norlia binti Mohamed Zain, 54, menghidap sakit saraf, parkinson dan kencing manis sejak 5 tahun lalu selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya.

Wan Nor Kashidah binti Wan Kamaruddin, 29, bukan sahaja perlu menjaga ibunya tetapi turut menjaga neneknya, Kelthom binti Daud berusia 80 tahun. Neneknya juga uzur, bergerak pun bergantung kepada tongkat. Betapa tabahnya kamu menguruskan mereka. Kami tak nafikan menjaga orang sakit memang banyak dugaanya.

Di awal perkongsian, si anak nampak sangat tabah. Dia memberitahu kami yang dia tidak pernah menyesal berhenti kerja apatah lagi demi menjaga ibunya… Syurganya. Insan yang membesarkannya selama ini, setelah berpisah dengan ayahnya.

Selang seketika, dia sudah tidak mampu berselindung lagi. Akhirnya air matanya tumpah. Tumpah bukan kerana penat menjaga sang ibu, tapi itu adalah air mata gembira dan bersyukur menerima sumbangan zakat MAIK. Dia yang mesra dipanggil Shidah itu memberitahu kami, perbelanjaan harian bergantung sepenuhnya dengan wang bantuan JKM yang diterima oleh ibu dan neneknya RM500 seorang.

Tapi ia tidak cukup. Duit itulah juga digunakan untuk membayar rumah sewa RM300 sebulan. Nak beli lampin. Nak beli ubat-ubatan. Nak beli makanan dan minum. Mana nak cukup. Dia lelah memikirkan soal duit. Nak keluar untuk kerja pun tak boleh.

Alhamdulillah, duit zakat hasil sumbangan para pembayar zakat MAIK telah menggembirakan keluarga ini. Kami yang diwakili oleh Yang Berusaha Encik Ikhwan bin Mat Yasin, Pegawai Agihan Zakat MAIK bersama Yang Berusaha Encik Muhamad Firdaus bin Mat Rahim, Pegawai Komunikasi Korporat MAIK telah sampaikan sumbangan segera kepada Puan Norlia dan Makcik Kelthom. Setiap mereka menerima wang tunai RM2,000. Kami juga berikan sumbangan berbentuk bakul makanan.

Perasaan kami semakin tersentuh. Kami percaya bukan sahaja team kami yang tersentuh tetapi hati para pembayar zakat turut merasai perkara sama. Apabila sang ibu yang berada di atas katil turut menangis. Dia dengan tangan terketar-ketar, menangis sambil mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat. Kerana baginya, sumbangan ini amat bermakna buat mereka yang hilang punca pendapatan. Di sebalik kesempitan hidupnya, ALLAH SWT hadirkan wang zakat untuk membantu mereka.

Tangisan ini juga sebagai luahan kegembiraan kak Norlia kepada kami. Kak Norlia gembira kerana MAIK akan turut menampung bayaran rumah sewa mereka sebanyak RM300 sebulan. Selain itu, Kak Norlia dan Mak Cik Kelthom akan turut menerima bantuan bulanan MAIK sebanyak RM400 setiap seorang.

Lihatlah para pembayar zakat. Betapa bermaknanya zakat anda buat insan-insan yang memerlukan di luar sana. Mereka dapat teruskan kehidupan di sebalik keberkatan rezeki para pembayar zakat ini dengan izin ALLAH SWT. Sesungguhnya anda wahai para pembayar zakat adalah HERO SEBENAR ASNAF. Terima kasih Para Pembayar Zakat MAIK.

#MAIK2023

#MAIKCaknoSengoti

#ZakatMAIK

flickr

www.flickr.com

 

 

 


Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini3469
Kelmarin3491
Minggu Ini23131
Bulan Ini23131
Jumlah Pengunjung29327748

A- A A+