faq lokasi aduan peta


BERITA 2023

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

DOAKAN IBU SAYA…

Tular di media sosial, kejayaan seorang pelajar memperoleh 11A dalam SPM diumumkan kelmarin, meskipun dia belajar sambil menjaga ibunya yang lumpuh sebelah kiri badan akibat angin ahmar sejak 2019 lagi.

Kisahnya membuatkan perasaan kita bercampur baur. Apatah lagi kita telah menyaksikan video kejutan, apabila guru-gurunya sendiri menghantar slip keputusan SPM ke rumahnya, kerana pada hari penting itu, Muhammad Syahril bin Saidi perlu menjaga ibunya yang terlantar di katil sakit.

Episod pengorbanan, kegigihan  dan kejayaan adik Syahril ini sampai kepada MAIK.  Hari ini kami diwakili Mohd Izwan Shah bin Dato' Haji Mohd Aiseri, Ketua Pegawai Pembangunan MAIK, Ikhwan bin Mat Yasin, Pegawai Agihan Zakat MAIK dan Nur Hanis binti Alias, Pegawai Tadbir (Unit Tajaan Pendidikan) MAIK segera santuni adik Syahril di rumah sewanya di Perumahan Myhome Kampung Telong, Bachok.

Ketika sampai di halaman rumah, adik Syahril bergegas keluar menyapa kami. Sebelum perbualan dilanjutkan, adik Syahril terlebih dahulu memohon maaf kepada kami dan meminta kami berbual di luar rumah sahaja.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman, Beris Lalang itu juga memaklumkan keadaan ibunya semakin tenat, sejak Isnin tahap kesihatan ibunya merosot. Empat hari tidak tidur. Tidak mahu makan. Dia bimbang mengganggu kesihatan ibunya, Tuan Faridah binti Tuan Ismail, 53.

Ceritanya juga, doktor turut menasihatkan supaya dia tidak berjauhan dengan ibunya. Adik-beradik sudah berkumpul di rumahnya. Menjaga syurga mereka dengan penuh kasih sayang. Bertuahnya si ibu.

Kami memahami apa yang disampaikan adik Syahril. Kami mengerti, dia tidak mahu berjauhan lama dengan ibunya. Semasa bersembang pun pandangannya sering terarah ke pintu rumahnya. Kami berada di sana pun tidak lama, sekitar setengah jam sahaja.

Tidak mengapa adik Syahril, kami tahu apa yang ada di fikiranmu. Hasrat utama kami, menunaikan amanah para pembayar zakat MAIK. Sampaikan zakat kepada insan memerlukan. Sampaikan berita gembira di kala mereka dilanda ujian.

Hari ini, kami sampaikan bantuan segera kepada adik Syahril untuk perbelanjaan perubatan ibunya berjumlah RM 3,000. Sebagai hadiah kecemerlangan buat adik Syahril, kami serahkan RM 1,000. Kami juga sampaikan bakul makanan.

Untuk persekolahan, adik Syahril tidak perlu bimbang. Kini dia sedang menyambung pelajaran Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Maahad Yaakubiah, Kampung Nipah, Bachok. Kami sampaikan berita gembira buat dia. Kami teruskan tajaan Biasiswa Tengku Anis MAIK sehingga dia tamat belajar.

Sebenarnya adik Syahril merupakan penerima tajaan Biasiswa Tengku Anis MAIK sejak tahun 2021 lagi.

Adik Syahril juga tidak perlu bimbang, sekiranya dia ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di dalam mahupun luar negara, pihak MAIK bersedia untuk menaja pengajiannya nanti.

Adik Syahril juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembayar zakat dan meminta semua pihak mendoakan supaya ALLAH SWT permudahkan segala urusan ibunya.

Lihatlah anak-anak di luar sana, betapa ALLAH SWT telah menjanjikan ganjaran terbaik buat mereka yang memuliakan ibu dan bapa kamu. Berkat berbakti dan utamakan orang tua kita, ALLAH SWT telah permudahkan segala urusan adik Syahril.

Duhai anak-anak yang masih mempunyai ibu dan ayah, berbaktilah kepada mereka selagi diberikan peluang, sebelum kita semua terlambat. Kasihnya ibu dan ayah membawa kita ke syurga.

Begitu juga para pembayar zakat. Hanya ALLAH SWT sahaja yang mampu membalas jasa kalian. Semoga pahala daripada amal kebaikan dan ilmu bermanfaat dicurahkan oleh adik Syahril ini juga sampai kepada kalian. Betapa hebatnya ganjaran pahala yang diterima kalian sebagai pembayar zakat MAIK. Itulah matlamat hidup kita. Memperoleh redha ALLAH SWT di dunia dan akhirat kelak.

Terima Kasih Pembayar Zakat. Andalah Hero Sebenar Asnaf

#MAIK2023

#ZAKATMAIK

#MAIKCaknoSengoti

 

 flickr

www.flickr.com

 

 

 


Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini2696
Kelmarin3207
Minggu Ini18867
Bulan Ini18867
Jumlah Pengunjung29323484

A- A A+