MAAFKAN KAMI...KAMI TERPAKSA MA
Kami terpaksa suapkan Ma bubur nasi. Kami terpaksa. Terpaksa berbuat begitu untuk gantikan susu khas. Kami pernah kehabisan susu disebabkan masalah kewangan.
Bukan tidak kasihankan si ibu tetapi itu pilihan terakhir. Tak mahu ibu mereka, Thuwaibatul Aslamiah binti Muda, 56 tahun yang terlantar akibat strok sejak tiga bulan lalu semakin lemah.
Itulah yang diluahkan Nur Mahirah binti Mat Daud, berusia 22 tahun. Dia menjaga ibu bersama kakaknya, Nur Farida Hamimi, 27 tahun di rumah mereka dekat Kampung Lepar Limbat, Kota Bharu.
Cerita anak bongsu daripada enam beradik itu juga, kadang-kala mereka mencatu sukatan susu untuk berjimat. Sepatutnya 4 sudu susu, tapi terpaksa guna 2 sahaja. Lampin pakai buang pun ditukar tidak mengikut waktu.
Kalau nak diikutkan Nur Mahirah malu untuk mengaku tetapi itu adalah hakikat sebenar dihadapi mereka. Tapi mereka mempunyai 6 beradik yang sangat banyak membantu untuk menampung perbelanjaan perubatan ibu. Pun begitu mereka masih mempunyai komitmen diri sendiri yang perlu dilunaskan.
Maklumnya, sanak-saudara juga sentiasa menghulurkan sumbangan tetapi mereka memahami kerana masing-masing memiliki tanggungjawab. Namun Nur Mahirah dan kakaknya bersyukur kerana masih dikurniakan sanak-saudara yang prihatin dengan nasib mereka.
Berbalik kepada belanja perubatan si ibu, sekurang-kurangnya RM1,800 diperlukan setiap bulan. Si ibu perlu jalani rawatan 2 kali sebulan. Ini termasuklah kos sewa ambulans, RM400 sebulan. Tidak termasuk lagi kos ubat-ubatan mencuci luka di kaki dan di pinggul si ibu kerana penyakit kencing manis. Di mana mereka nak cari duit sebanyak itu? Nur Mahirah yang sebelum ini bekerja di kilang menjahit pakaian pun berhenti kerja demi menjaga ibu mereka.
Ketika kami menziarahi keluarga ini, si bongsu memberitahu dia terpaksa mengangkat kepala ibunya jika mahu suapkan makanan. Dia terpaksa buat begitu kerana ibunya terlantar di katil biasa. Memang susahlah kalau ketika itu dia sendirian uruskan ibu.
ALLAHUAKBAR. Pastinya kisah sebegini tidak mahu dibiarkan oleh pembayar zakat kami. Sebab itulah mereka berinfak dengan MAIK.
Mereka mahu MAIK bantu lebih ramai insan memerlukan. Jadi kami tunaikan hasrat pembayar zakat kami. Pihak kami diwakili YBrs. En. Ikhwan bin Mat Yasin, Pegawai Agihan Zakat MAIK telah menyantuni keluarga ini.
Kedatangan kami menyentuh hati mereka, pemberian kami dibalas dengan air mata gembira. Kenapa air mata mereka gugur? Mereka terlalu bersyukur dan gembira kerana disaat mereka memerlukan kami datang menghulurkan sumbangan.
Kami sampaikan bantuan segera berjumlah RM3,000 untuk kos perubatan si ibu. Bukan itu sahaja, pembayar zakat kami bantu keluarga ini secara bulanan sebanyak RM1,000 sebulan.
Bagi keselesaan si ibu, kami juga akan pertimbangkan untuk memberikan katil wakaf MAIK. Mereka mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat, kerana dengan bantuan zakat yang diterimanya itulah membolehkan ibunya minum susu dengan sukatan disarankan oleh doktor. Lampin juga boleh kerap kali ditukar.
YA ALLAH, YA TUHANKU… Lihatlah betapa besarnya nikmat wang zakat ini buat mereka. Bagi yang mampu, ayuhlah sama-sama kita berzakat untuk bersama kami membantu mereka yang memerlukan.
ALLAH SWT menjanjikan ganjaran berita yang menggembirakan buat mereka yang berzakat dan bersedekah.
Terima kasih pembayar zakat.