RUMAH DIBADAI RIBUT KETIKA ANAK DAN ISTERI BEREHAT DI RUANG TAMU
Malang tidak berbau. Itulah ujian yang dilalui lima beranak ini apabila rumah mereka terjejas teruk akibat ribut.
Akibat kejadian itu juga, 80 peratus bumbung rumah didiami Shuhaimi bin Mohamed di Kampung Wakaf, Pasir Puteh tercabut.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya, apatah lagi, dia ditimpa ujian di saat ketiadaan pekerjaan yang tetap. Pastinya amat memeritkan buat Shuhaimi sekeluarga. ALLAHUAKBAR...Semoga Shuhaimi sekeluarga tabah menghadapinya.
Kami juga dimaklumkan kejadian tersebut berlaku semasa isteri dan anak-anaknya sedang berehat di ruang tamu. Alhamdulillah mujurlah mereka semuanya selamat.
Kejadian dialami keluarga ini telah mendapat perhatian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Setelah mendapat tahu kejadian terbabit, Imam Tua Masjid Ibrahimi Pasir Puteh, Al-Fadhil Ustaz Mohd Rosman bin Che Harun mewakili pembayar zakat MAIK telah menyantuni keluarga ini dan menyampaikan sumbangan segera sebanyak RM3,000.
Semoga sumbangan yang disampaikan ini dapat meringankan beban mereka sekeluarga.
Terima Kasih Kepada Pembayar Zakat MAIK dan orang ramai yang membantu menyalurkan sumbangan.