faq lokasi aduan peta


BERITA 2023

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

TERIMA KASIH PEMBAYAR ZAKAT MAIK, REALISASIKAN IMPIAN KAMI

“Terima kasih pembayar zakat MAIK, kerana realisasikan impian kami.”

Itulah ucapan paling istimewa daripada pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu MAIK (MAIK) buat pembayar zakat kami.

Ucapan itu bukan sahaja diungkapkan oleh 6 pelajar yang mendapat tajaan Biasiswa Sultan Ismail Petra (BSIP) MAIK, tetapi para ibu bapa juga melafazkan kata-kata yang sama.

Itu yang diluahkan mereka malam tadi, 23 Oktober 2023 sempena Majlis Pertemuan Bersama YABrs. Haji Zulkifle Bin Ab Rahman, Timbalan Yang Dipertua MAIK Dan Pelajar Tajaan BSIP MAIK Sesi Pengajian Tahun 2023/2024 di The Grand Renai Hotel, Kota Bharu.

Ini tanda penghargaan buat pembayar zakat MAIK yang tidak ternilai kerana memberi peluang kepada anak-anak mereka menyambung pengajian di Maahad Qiraat Shoubro, Mesir. Tanpa sumbangan pembayar zakat, sukar untuk anak-anak mereka ke sana.

Pada majlis sama, Tuan Haji Zulkifle turut mengucapkan tahniah kepada mereka yang layak dan berpesan supaya belajar bersungguh-sungguh demi tidak menghampakan harapan besar ibu bapa serta pembayar zakat.

Nasihat beliau, paling penting, jadilah seorang pelajar yang bersikap jujur. Jujur dengan keputusan yang diperoleh sepanjang 3 tahun pengajian, kerana pembayar zakat dan pihak MAIK meletakkan harapan tinggi, bahkan akan membantu pelajar dalam apa jua keadaan sehingga mereka berjaya.

Untuk makluman, tahun ini adalah ambilan ke-17 bagi pelajar di bawah tajaan BSIP dan menjadikan seramai 21 orang mendapat tajaan biasiswa ini termasuklah 6 pelajar yang diraikan ini.

Setiap pelajar diperuntukkan sebanyak RM27,000.00 sepanjang 3 tahun pengajian, yang mana mereka bertanggungjawab penuh untuk menguruskan bayaran yuran pengajian dan sara hidup selama tempoh pengajian.

Mereka akan bertolak pada Khamis ini dan memulakan pengajian awal November 2023.

Lihatlah para pembayar zakat kami, betapa besarnya ganjaran yang kalian terima. Pahala yang berpanjangan selama mana ilmu para pelajar ini dimanfaatkan.

Jutaan Terima Kasih Buat Pembayar Zakat MAIK.

#MAIK2023


Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini2662
Kelmarin3045
Minggu Ini5707
Bulan Ini5707
Jumlah Pengunjung29310324

A- A A+