faq lokasi aduan peta


BERITA 2023

MAJLIS AGAMA ISLAM & ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

TIGA TERLANTAR, SEORANG MAUT...WANG ZAKAT MAIK BANTU KELUARGA URUSKAN MEREKA

ALLAHUAKBAR. Ujian ALLAH SWT sangat hebat. Tidak dapat kita dustakan. Sekelip mata sahaja...segalanya boleh berlaku.

Begitulah ujian besar dihadapi oleh lima sekeluarga ini. Sang ayah dan ibu terlantar serentak sekelip mata. Anak lelaki sulung berumur 10 tahun dulunya aktif, kini menjadi anak istimewa.

Paling tragis si bongsu berusia 5 tahun di ribaan ibunya maut dalam kemalangan jalan raya pada awal Ramadan lalu.

Kejadian di kilometer 49, Jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu, pada petang itu turut mengakibatkan anak kedua mereka berusia enam tahun cedera ringan.

Akibat kemalangan itu, Mohd Hafiz bin Daud, 35, patah paha kiri dan kanan. Terlantar. Kini dia dijaga oleh keluarganya di Terengganu.

Sementara sang isteri Siti Idayu binti Lah, 35, juga parah. Dirawat di HUSM selama 40 hari. Tulang punggung dan paha patah. Buku lali kanan hancur. Lutut, paha dan kawasan sulit terpaksa dimasukkan besi. Sekelip mata kehidupan mereka berubah.

ALLAHUAKBAR. Bayangkan jika perkara ini berlaku kepada diri kita sendiri. Naluri kita sebagai seorang ibu. Bagaimana kita hendak menjaga anak yang masih kecil? Seorang lagi terlantar. Si sulung yang terlantar pula tidak boleh bercakap. Lehernya pula ditebuk dan hanya bergantung kepada susu yang diberikan menerusi tiub. Suami juga terlantar.

Di sebalik ujian ini. Idayu bersyukur kerana dia mempunyai adik-beradik dan keluarga mertua yang penyayang. Di saat terlantar, keluarga di Kota Bharu dan Terengganu bergilir-gilir menjaga mereka.

Cuma hati Idayu sebak mengenangkan dirinya yang terlantar, tidak mampu menguruskan suaminya dan anak-anak. Jauh di sudut hatinya ingin menjaga suami dan anak-anaknya sendiri tetapi apakan daya keadaan tidak mengizinkan.

Dia sendiri pun terlantar dan dijaga oleh kakaknya, Rohani, 52, bersama suaminya di Bukit Marak. Menumpang rumah kakaknya.

Ketika menyuarakan hasrat hatinya itulah, air mata Idayu gugur. Dia cuba ketawa tapi hatinya tidak mampu berbohong. Hatinya lagi tersentuh. Apa tidaknya, dia hanya mampu menjeling, tidak boleh menjaga anak sulungnya terlantar di katil bersebelahan dengannya.

Jiwanya turut terusik apabila teringatkan arwah anak bongsunya. Idayu tidak dapat bersama-sama menghantar jasad si bongsu di hari pengebumian anaknya itu.

Kisah yang dialami oleh lima beranak di Bukit Marak, Kota Bharu sampai ke pengetahuan kami. Sebagaimana kewajipan kami di MAIK. Kami dengan segera turun padang. Kami bawakan bakul makanan. Bagi meringankan beban keluarga ini juga, kami mewakili pembayar-pembayar zakat yang mahukan wang zakat mereka dimanfaatkan sebagaimana tuntutan dalam Islam.

Hari ini kami diwakili Yang Berusaha Encik Muhamad Firdaus bin Mat Rahim, Pegawai Komunikasi Korporat MAIK dan Yang Berusaha Pegawai Tadbir Agihan Zakat MAIK, Puan Nur Afiqah binti Hamidi telah menyerahkan wang zakat berjumlah RM6,000. Sebanyak RM3,000 untuk Bantuan Am, RM3,000 lagi untuk Bantuan Perubatan.

Kami juga tahu, punca pendapatan keluarga ini juga terputus. Entah bila sang ayah boleh kembali menjadi pemandu lori dengan kecederaan dialaminya itu. Jadi berkat wang zakat ini jugalah, MAIK turut akan luluskan bantuan bulanan sebanyak RM1,000 sebulan untuk menampung perbelanjaan harian mereka.

Duhai pembayar zakat sekalian lihatlah betapa bernilainya harta-harta yang telah anda infakkan kepada kami. Wang zakat kalian amat membantu keluarga ini.

Alhamdulillah. Semoga ALLAH SWT melipatgandakan lagi harta yang berkat kepada semua pembayar zakat kami.

Terima Kasih Para Pembayar Zakat, Anda Hero Sebenar Asnaf

#MAIK2023

#MAIKCaknoSengoti

flickr

www.flickr.com

 

 

 


Cetak   Emel

HUBUNGI KAMI

Talian : +609-7481512

Faks: +609-7485512

Emel: maik [at] e-maik [dot] my

Aduan: KLIK DI SINI

BILANGAN PENGUNJUNG

Hari Ini2618
Kelmarin3491
Minggu Ini22280
Bulan Ini22280
Jumlah Pengunjung29326897

A- A A+