ZAKAT MAIK SELESAIKAN KEBUNTUAN KELUARGA MILIKI 7 ANAK OKU LUNAS BIL ELEKTRIK
Bukan sahaja terpaksa mencatu makan, keluarga ini juga buntu memikirkan di mana mahu mencari duit untuk melunaskan tunggakan bil elektrik yang sudah mencecah ribuan ringgit.
Sudahlah ketua keluarga ini, Hassan bin Yacob, 78, uzur kerana menghidap darah tinggi, kencing manis, jantung dan sakit buah pinggang tahap 3. Isterinya pula Khadijah binti Omar,61, tidak bekerja dan tujuh anak-anak mereka berusia 19 hingga 40 tahun adalah golongan istimewa.
Selama ini mereka bergantung dengan bantuan JKM sebanyak RM500 dan juga sumbangan orang ramai dan penghuni pondok berdekatan rumah mereka.
Kadang-kala makan tidak mencukupi dan dicatu. Mujurlah mereka pelihara itik. Bolehlah jadikan telur itik sebagai lauk ketika mana terputus duit. Ada ketika dijual kepada penduduk sekitar demi sesuap nasi.
Mereka sekeluarga yang tinggal di Kampung Permatang Pusu, Melor Kota Bharu ini juga tidak senang duduk kerana tunggakan bil elektrik berjumlah RM1,500 tidak dapat dibayar. Bimbang bergelap.
Semoga Ramadan yang bakal tiba nanti lebih bermakna buat mereka untuk bersahur dan berbuka. Bagi menyelesaikan kebuntuan keluarga ini, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada Ahad diwakili Al-Fadhil Ustaz Mahamad Azmi bin Zakaria, Pegawai Agihan Zakat MAIK telah menyantuni mereka.
Keluarga ini menyampaikan bantuan zakat berjumlah RM3,000 untuk melunaskan tunggakan bil elektrik dan digunakan untuk perbelanjaan harian. Keluarga ini juga mendapat kelulusan segera untuk menerima manfaat duit zakat menerusi bantuan bulanan MAIK.
Semoga urusan harian keluarga ini berjalan dengan baik hasil wang zakat yang diinfakkan oleh orang ramai kepada MAIK. Sama-sama kita doakan keluarga ini boleh menempuhi kehidupan dengan lebih baik selepas ini.
Amin, Amin, Amin Ya Rabbal Alamin.